seni tari dan alat muzik dari tamadun islam


Antara kesenian masyarakat Melayu yang paling popular ialah seni tari dan alat muzik. Sebelum kedatangan Islam, muzik di Alam Melayu berunsurkan Hindu dan Buddha. Apabila Islam datang ke Nusantara, Islam memperkenalkan bentuk-bentuk nyanyian yang mengagungkan Allah, Nabi Muhammad s.a.w dan para sahabat. Contoh persembahan yang diadaptasikan ialah seperti hadrah, rodat, dabus dan dikir rebana. Kesemuanya dipersembahkan secara berkumpulan yang diiringi dengan rebana dan gong (Abdul Kadir 1988).

CONTOH-CONTOH KESENIAN
1) Rodat
Rodat merupakan sejenis muzik yang berasal dari tanah Arab. Perkataan rodat dipercayai berasal daripada perkataan Arab yang bermaksud ulang-ulik, bersahut-sahutan kembali atau yang menunjukkan berbalas-balas. Rodat juga dipercayai lahir bersama-sama nazam, maulud, berzanji, zapin, hasiddah, nasyid dan berhadrah.

2) Hadrah
Hadrah berasal dari negara Timur Tengah. Hadrah merupakan paluan gendang bersertakan nyanyian yang memuji kemuliaan Tuhan, nasihat kepada saudara seagama, pujian untuk pengantin dan sebagainya.

3) Ghazal
Muzik ghazal juga berasal dari Tanah Arab yang dikatakan berkembang pesat di sekitar abad ke-8. Perkataan ghazal dipinjam daripada perkataan Arab yang bermaksud puisi kasih. Dari tanah Arab, ghazal berkembang ke Parsi, Turki, India dan tempat-tempat lain termasuklah Malaysia. Ghazal menjadi Dendang Istana dan merupakan persembahan utama dalam majlis-majlis keramaian diraja atau di pesta-pesta negara.

4) Dabus
Muzik dabus hampir sama dengan hadrah dan rodat. Kumpulan muzik dabus berzikir memuji Tuhan dan Nabi Muhammad s.a.w dan juga mengiringi tarian biasa. Dabus berasal dari perkataan Bugis yang bermaksud batang besi yang tajam yang dipegang oleh penari semasa menari. Jumlah ahli kumpulan muzik dabus terdiri di antara 15-18 orang yang dibahagikan kepada lapan orang penari dan 8-10 ahli muzik. Alat-alat muzik yang digunakan dalam muzik dabus ialah rebana dan sebiji gong. Bilangan rebana berbeza dari kumpulan ke kumpulan. Sebilangan kumpulan pula menambah alat serunai untuk mengiringi nyanyian syair pada permulaan persembahan.

5) Nobat
Muzik nobat juga berasal dari istana kerajaan negara-negara Islam di Timur Tengah. Muzik nobat dipercayai wujud semenjak pemerintahan raja Pasai iaitu Sultan Malik Ul-Salih atau dikenali juga sebagai Merah Silu.
Muzik nobat dari Pasai ini kemudiannya dibawa ke Semenanjung Tanah Melayu dan memainkan peranan penting dalam istiadat di istana kerajaan Islam Melaka. Nobat kini menjadi muzik istiadat di istana-istana di Tanah Melayu dan masih di kekalkan hingga ke hari ini (Abdul Kadir 1988)

CONTOH-CONTOH ALAT MUZIK

  • Serunai

Serunai dikatakan berasal dari Timur Tengah (Palestin) dalam kurun ke-2 Masihi dan dari sana tersebar ke sebelah timur. Serunai dikenali dengan pelbagai nama, sunray di Parsi, zurna di Turki, mizmar di negeri Arab, gaita di Algeria dan Morocco, zuqra di Tripolis dan Tunisia dan syrnaya di Syria. Alat muzik yang serupa dengan serunai Melayu dikenali sebagai senayi dalam bahasa Sanskrit dan ada kaitan dengan nagashuaram di India Selatan.
  • Rebab

Alat muzik rebab dipercayai berasal dari daerah Kuristan, Iran Utara yang terdapat di seluruh Asia Tenggara. Rebab dikatakan wujud sebelum zaman Nabi Muhammad s.a.w dan dimainkan oleh Raja Sulaiman dan dilengkapkan lagi oleh Abdullah Faryabi . Rebab bertali dua didapati di Indonesia dan dikenali sebagai tro khmer (tro u) di Kampuchea. Alat yang sama dengan rebab di Thai ialah so sam sai yang bertali tiga dan dua variasinya ialah so u so duang dan yang tali penggeseknya melalui di antara tali alat ini.
  • Gendang

Gendang yang berbentuk bujur, berbentuk tong, geduk, gedombak dan rebana. Gendang bujur menyerupai gendang mridanga dan gendang Mesir dikenali sebagai gendang di Indonesia dan Malaysia, klong khaek di negara Thai dan sam phu di Kampuchea.Gendang yang berbentuk tong dikatakan berasal dari Duhul, Parsi yang dikenali sebagai klong that di negara Thai dan skor thom di Kampuchea.
  • Gedombak

Gedombak pula didapati di negara Thai yang dikenali sebagai rammana dan di Kampuchea sebagai titik skor. Gedombak di Alam Melayu diperbuat daripada kayu sementara di Timur Tengah gedombak diperbuat daripada selut atau logam.

2 comments:

Copyright@2012 by TITASholic