seni bina dan ukiran dari tamadun china



Dalam bidang ini , Tamadun China terkenal dengan pembinaan Tembok Besar yang dibina semasa Dinasti Chin. Semasa Dinasti Chou lagi, beberapa buah negeri di bahagian utara negeri China telah membina tembok-tembok yang panjang untuk mempertahankan negeri China daripada serangan musuh. Maharaja Shih Huang Ti telah mengukuh dan mencantumkan semua tembok tersebut menjadi satu tembok besar yang bersambungan di atas bukit dan lembah.Pembinaannya adalah dalam jangka masa antara tahun 228 SM hingga 210 SM.

Tembok Besar China yang panjangnya kira-kira 2410 km dan setinggi 40-50 kaki merupakan satu daripada 7 keajaiban dunia. Di sepanjang tembok itu dibina 20,000 menara-pengawa di samping 10,000 menara-pengawal kecil. Pada setiap menara ditempatkan sepasukan tentera seramai 100 orang. Seni bina yang lain dapat dilihat melalui pembinaan istana, kuil-kuil dan bangunan-bangunan berbentuk pagoda.

Dalam Seni Ukir ,ukiran-ukiran dapat dilihat pada patung-patung yang dibuat daripada batu jed, gangsa, batu, tanah liat dan kayu. Ukiran juga dibuat di kubur dan di dinding gua. Pengukir Shang menggunakan batu marmar, batu jed dan batu kapur untuk mengukir patung-patung kecil. Dinasti Han juga terkenal dengan pengukir-pengukirnya yang mahir.

Dalam bidang pembuatan seramik atau tembikar, masyarakat Shang telah memajukan teknik-teknik membuat seramik.Buatannya halus dan dicat dengan warna hitam dan merah. Gangsa juga digunakan untuk membuat bekas air dan makanan. Ia dihiasi dengan ukiran-ukiran geometrik dan haiwan.

Pada zaman Dinasti Tang (abad ke-8) seni pahat (sculpture) turut berkembang seiring dengan perkembangan seni lukis.Dalam hal ini agama Buddha banyak memainkan peranan. Kegiatan agama telah menghasilkan banyak patung di kuil-kuil. Patung-patung yang masyhur ialah ‘Lung-men’, Buddha batu yang dikelilingi oleh patung-patung Bodhisattvas, samai-sami dan penjaga-penjaga. Kemudian dengan secara beransur-ansur orang-orang China menggantikan patung-patung keagamaan itu dengan membuat patung-patung berbentuk kuda dengan ukiran-ukirannya sekali. Patung-patung kuda dengan penunggangnya menggambarkan sifat kepahlawanan China.


No comments:

Post a Comment

Copyright@2012 by TITASholic