Tamadun Islam suatu gambaran umum (Part 1)


Tamadun Islam merupakan salah satu tamadun dunia yang terunggul. Kajian demi kajian telah dilakukan dan sehingga hari ini, masih lagi terdapat penemuan baru dalam tamadun Islam yang belum disingkap oleh masyarakat moden. Sumbangannya tidak ternilai dalam membentuk generasi manusia yang bertamadun dan maju.

Dalam ruangan ini, kami cuba membincangkan beberapa ciri-ciri tamadun Islam yang telah berjaya membina tamadun unggul tersebut. Rangkaian ciri-ciri ini telah dapat menghasilkan satu tamadun yang boleh dilihat dengan jelas pengaruhnya hingga ke Eropah, seluruh benua Asia dan Afrika.

Kajian ini mengetengahkan pendapat-pendapat dan hasil kajian sarjana-sarjana Islam dan juga sarjana-sarjana bukan Islam terhadap tamadun Islam. Ringkasnya ia berpandukan sejarah dan bukan rekaan semata-mata. Selain itu ia juga merujuk kepada al-Quran dan sunnah Rasulullah S.A.W.


Tamadun Islam

Tamadun Islam ialah manifestasi kemajuan dan pembangunan yang dibina oleh masyarakat Islam berlandaskan ciri-ciri Islam. Penekanan dalam pembinaan tamadun Islam adalah merangkumi aspek spiritual, material dan intelektual. Ringkasnya Islam merupakan sebuah tamadun yang bersifat ‘Multi-dimensional’. Terdapat beberapa ciri tamadun Islam yang menjadikan tamadun ini cemerlang dan unik. Berdasarkan tajuk ini, kita akan membincangkan ciri-ciri tersebut dengan lebih mendalam.

Ciri-ciri Tamadun Islam

Beberapa ciri yang bersifat membantu untuk mencapai matlamat tamadun Islam ialah:

  • Penggunaan Tulisan.
Penggunaan tulisan adalah salah satu ciri penting tamadun Islam. Ia mempercepatkan proses penyebaran kebudayaan Islam seterusnya mempergiatkan perkembangan ilmu yang memberi kesan terhadap perubahan dalam semua aspek kehidupan umat. Penggunaan tulisan berkait rapat dengan penggunaan bahasa iaitu bahasa Arab. Profesor Madya Dr. M.A.J. Beg telah mengemukakan beberapa pendapat sarjana barat dan Islam tentang bahasa Arab ini. J.S. Badeau mengatakan bahawa tidak siapa yang dapat meragui tentang perpaduan di antara bahasa Arab dengan tamadun Islam. Malah kedua-duanya telah bersatu sebagai satu sebatian. Sebab itulah pencapaian bangsa Arab lebih dikenali sebagai tamadun Islam dan pemikiran Arab.

M. Nizamuddin pula menjelaskan bahawa tamadun Islam telah diresapi oleh bahasa Arab. Di mana boleh dikatakan semua bidang tamadun Islam telah diresapi oleh bahasa Arab seperti filologi, kamus, fonetik, tafsir al-Quran, ilmu persejarahan, nahu, surat-menyurat, sejarah, akidah, hadis, tasauf, falsafah, akhlak, matematik, astronomi, astrologi, muzik, mekanik, sains-sains natur, perubatan dan lain-lain ilmu seni.

Syeikh Inayatullah mengatakan bahawa untuk memperingati tamadun yang agung di dunia ini iaitu tamadun Islam, maka perlu diadakan kelas bagi mempelajari bahasa Arab kerana bahasa itulah merupakan alat bagi menyampaikan seseorang untuk menikmati tamadun Islam.

H.A.R Gibb juga memberikan pendapat yang lebih kurang serupa dengan Syeikh Inayatullah yang mengatakan bahawa untuk memahami tamadun Islam yang merupakan satu sumbangan yang teragung kepada dunia, seseorang itu mestilah mendalami bahasa Arab.

Menurut J. Schacht, tamadun Islam mempunyai bahasa rasminya sendiri. Bahasa itu ialah bahasa Arab. Bahasa Arab juga adalah merupakan asas kepada kesusasteraan umat Islam yang merupakan salah satu ciri utama tamadun Islam. Bahasa Arab yang bertanggungjawab mengabadikan tamadun Islam.

G.E Von Grunebaum beranggapan bahawa bahasa Arab adalah merupakan lambang bahasa tamadun umat Islam. Ia juga adalah merupakan identifikasi kepada umat Islam dan bangsa Arab sendiri. Bahasa Arab juga dikatakan sebagai lambang kepada keunggulan bangsa Arab sebagai bahasa manusia terbaik. Merekalah yang bertanggungjawab menjadikan bahasa Arab sebagai perhiasan tamadun Islam.

F.W. Fernau menjelaskan bahawa tidak perlu diragukan lagi tentang peranan al-Quran sebagai mukjizat daripada Allah S.W.T yang secara langsung bertanggungjawab mengekal dan mengabdikan kesempurnaan dan ketulenan al-Quran yang kini telah lebih dari 14 abad lamanya. Mukjizat inilah juga yang bertanggungjawab memelihara dan memupuk perkembangan bahasa Arab. Sehingga ia berjaya menjadi bahasa tamadun Islam. Keberkekalan bahasa Arab adalah merupakan satu kes yang unik dan luar biasa di dalam sejarah manusia.

Professor Madya Dr. M.A.J. Beg akhirnya mengemukakan pendapatnya sendiri yang mengatakan bahawa keistimewaan bahasa Arab terletak pada beberapa faktor. Di antaranya ialah bahasa itu adalah merupakan bahasa ibadat kepada Allah S.W.T, bahasa al-Quran, bahasa hadis, bahasa ilmu pengetahuan, bahasa perundangan, bahasa sejarah, bahasa akidah, bahasa ilmu sains, bahasa falsafah dan sebagainya.

Keindahan seni khat di semua negara Islam dari Moroko sampailah ke Malaysia adalah diinspirasikan oleh bahasa Arab. Kebanyakan bahasa di dunia ini termasuk Parsi, Turki, Urdu, Bahasa Melayu, Tausug, Uzbek, Pashto, Sindhi, Arab-Tabil, Tifinagh, Swahili, Ajemik, Malagasi, Slavon dan sebagainya mengambil huruf Arab (jawi) sebagai huruf di dalam tulisan mereka. Ini bererti huruf, bahasa dan Islam mempunyai pengaruh yang mendalam dan luas di dalam tamadun Islam.

Mengapakah bahasa Arab dipilih oleh Allah S.W.t sebagai bahasa al-Quran yang menjadi sumber tamadun Islam? Jawapan yang diberikan oleh al-Maududi adalah seperti berikut. Bahasa Arab yang dimiliki oleh bangsa Arab adalah merupakan bahasa yang terbaik dan tersempurna di atas muka bumi ini yang mempunyai daya kekuatan untuk menyampaikan sebarang bentuk pemikiran dan ilmiah. Hanya bahasa tersebut sahajalah yang mampu untuk menyampaikan ajaran Islam yang menyempurnakan segala syariat Allah S.W.T sebelumnya sepertimana yang terkandung di dalam al-Quran.

Tidak dapat dinafikan dengan kedatangan ‘Deen Islam’ telah membuka luas perbahasan-perbahasan ilmu pengetahuan. Dengan demikian berlakunya perkembangan dan bertebaranlah ilmu khususnya untuk kepentingan manusia. Tidaklah itu mukjizat Yang Agung (Allah) iaitu AL Quranul Karim yang memulakan ayat pertamanya dengan lafaz ‘Iqrak’.

Inilah detik yang Allah S.W.T mahukan supaya manusia berfikir dan menggali kembali khazanah atau perbendaharaan yang terdapat dalam al-Quran kitabullah. Perkembangan daulah Islam dan kekuasaan pemerintahannya diakui hingga ke negeri China dan Perancis di bahagian barat. Banyak terjemahan telah dilakukan dan dipindah terus ke bahasa Arab melalui bahan-bahan intelektual Tunani, Rome, Farsi dan India. Para khalifah telah membuka dan menggunakan sebahagian ruang istana sebagai khutub khanah. Padanya terdapat berpuluh ribu buah kitab yang tinggi nilainya. Khalifah-khalifah sebagai pemegang teraju utama dalam memelihara kedudukan dan kepentingan ulama dan ilmu. Peranan ini dijalankan oleh Khalifah Al-Rasyid dan Makmum.


  • Kemunculan Kota
Kemunculan kota atau bandar bagi menampung pertambahan penduduk yang sedia ada dan yang datang untuk pelbagai aktiviti lain. Bandar-bandar Islam itu terdapat di Iraq, Syam, Mesir, Afrika, Andalus dan lainnya, sebahagian daripadanya masih diduduki seperti Basrah, Baghdad dan Kaherah, tetapi sebahagian yang lain tinggal runtuhan dan kesan-kesannya sahaja seperti Fustat di Mesir dan al-Zahra’ di Andalus.

Daripada segi sejarah, bandar Islam pertama yang unggul ialah bandar Madinah pada zaman Nabi dan Khulafa’ al-Rasyidin, kerana pada zaman itulah masyarakat Islam yang tulen telah berjaya dibentuk oleh baginda.

Salah satu ciri utama perkembangan fizikal bandar Islam ialah kelahiran institusi masjid Jami’ sebagai tempat perhimpunan sembahyang berjama’ah pada hari Jumaat. Perhimpunan ini menimbulkan satu pemusatan paasr-pasar di sekitarnya, dikenali dengan suq (jama’nya:aswaq) . Masjid-masjid jami’ dan aswaq ini bukan sahaja sebagai tempat ibadat dan urusan perdagangan malah sebagai tempat ibadat dan urusan perdagangan, pusat kegiatan sosial dan kegiatan sastera.

Daripada aspek pembentukan bandar-bandar “formation of towns”, perkembangan bandar-bandar Islam pada zaman awal Islam berubah daripada bentuk pemusatan “centralized” iaitu daripada pusat-pusat pemerintahan kepada bandar-bandar wilayah. Perkembangan bandar Islam seperti juga perkembangan bandar-bandar Rom dan Greek, terdiri daripada tiga keadaan iaitu sama ada ia berasal daripada penempatan baru tentera “amsar” yang muncul kemudiannya sebagai pusat utama perbandaran seperti Basrah atau menduduki penempatan bandar yang sedia ada seperti Damsyik dan Constantinople, atau merancang penempatan baru seperti Baghdad.

Menurut Grunebaum, bandar-bandar Islam boleh dibahagikan kepada dua iaitu “spontaneous” (terbangun secara spontan) dan “created” (dibangunkan secara terancang) . Bandar-bandar daripada jenis yang pertama ialah bandar-bandar yang berkembang di sekitar rumah ibadat, tanpa perancangan badan kerajaan seperti Mashad dan Karbala. Sementara itu, bandar-bandar daripada jenis kedua pula adalah bandar-bandar daripada kem tentera seperti Fustat di Mesir dan Kufah di Iraq, bandar-bandar politik atau pusat pemerintahan seperti Baghdad, atau bandar wilayah seperti Samarra’ dan Raqqadah, dan bandar-bandar berkubu “fortress towns” seperti Rabat, ibukota Morocco.

Dilihat daripada sudut sejarah, perkembangan bandar-bandar Islam amat sukar untuk membentuk sebuah gambaran yang tepat tentangnya kerana sebuah kota tidak hanya dinilai daripada sudut luarannya sahaja tetapi juga dinilai daripada sudut dalamannya. Nmaun demikian, secara kasarnya menurut Hourani dalam bukunya The Islamic City bahawa bandar Islam mempunyai beberapa sifat fizikal berikut:

  1. Mempunyai sebuah kota berkubu, biasanya sebagai tempat pertahanan.
  2. Kemungkinan terdapat sebuah kota diraja (a royal complex) atau penempatan diraja. Di dalamnya terdapat istana-istana khalifah dan keluarganya, pejabat-pejabat pentadbiran, tempet-tempat pengawal peribadi dan pasukan tentera khalifah.
  3. Terdapat satu kompleks pusat bandar terdiri daripada masjid-masjid Jami’ dan sekolah-sekolah agama, pasar-pasar pusat dan juga tempat-tempat khusus yang diperuntukkan bagi lumpulan-kumpulan utama tukang dan pedagang. Kedudukan bangunan bagi golongan agama dan pedagang-pedagang atau aristocrat tentera dengan pusat kekuasaan politik sentiasa berdekatan.
  4. Terdapat satu pusat kawasan perumahan yang wujud sekurang-kurangnya dua ciri khusus iaitu kombinasi orang tempatan dengan golongan, bangsa atau agama yang berbeza-beza, dan hubungan secara berasingan dimana setiap kawasan atau kumpulan penempatan diberi kuasa autonomi.
  5. Terdapat kawasan pinggiran kota “suburbs” dan kawasan perumahan diluar kota tempat pendatang-pendatang baru akan menetap dan melaksanakan pekerjaan-pekerjaan tertentu.
  6. Untuk tujuan menjaga kesihatan, maka lahirlah “maristan” (hospital) di bandar-bandar Islam sejak pada zaman Umaiyyah tetapi juga ia berkembang pesat pada zaman Abbasiah. Untuk tujuan keselamatan pula, kebanyakan bandar-bandar Islam mempunyai tembok, pintu besar dan tempat pertahanan.
Daripada sudut perancangan bandar, orang-orang Arab telah mengasaskan pusat tentera di tepi-tepi padang pasir, berhampiran dengan sumber air, padang rumput ternakan dan tempat yang tedapat kayu api. Antara contoh bandar yang terletak berhampiran dengan sungai ialah Kufah yang terletak di barat Sungai Furat, Basrah di Lembah Tigris dan Euphrates, Fustat di Timur Nil, Wasit, Baghdad, Samarra’ di tebing sungai Diljah.Langkah pertama yang dilakukan ketika ingin membina sebuah bandar ialah membuat penyelidikan topografi dan mengenali kesesuaian tempat bagi tujuan ketenteraan sebagaimana mereka lakukan ketika membina Kufah, Wasit, Baghdad dan Samarra’.

  • Masyarakat Majmuk
Wujudnya ketidakseragaman jenis bangsa yang memeluk Islam dan akhirnya turut sama-sama membentuk sebuah masyarakat Islam yang aktif dan maju. Perbezaan peranan yang dimainkan melahirkan pembahagian kerja seterusnya wujudlah suatu bentuk ekonomi bandar. Setiap individu berhak hidup dengan aman dan tenteram dalam sebuah masyarakat Islam. Ahli-ahli sains sosial menakrifkan masyarakat majmuk sebagai masyarakat berbilang bangsa, bahasa, kebudayaan dan agama. Biar apapun takrif dan analisis tentang masyarakat majmuk, ia menepati masyarakat Islam yang pertama wujud di Madinah. Masyarakat pada waktu itu terdiri daripada pelbagai kaum, bangsa, agama, budaya, bahasa dan kelas. Islam mempunyai pendekatan tersendiri dalam mengendalikan masyarakat majmuk. Masyarakat Islam wajib tunduk kepada semua peruntukan hukum Islam. Kewajipan ini ditentukan oleh dua faktor:

1. Kewajipan terhadap Allah S.W.T apabila ia mengumumkan Islam sebagai agamanya (tanggungjawab aqidah atau agama) .
2. Tanggungjawab kepada pemerintah yang mengambil sistem perundangan Islam sebagai dasar pemerintahan negara (tanggungjawab politik) .

Kelompok ini mesti tunduk kepada hukum Islam seluruhnya sama ada undang-undang sivil ataupun agama, tidak kira apa mazhab yang dianuti. Tidak ada kebebasan untuk memilih hukum-hukum yang lain daripada hukum Islam. Sementara masyarakat bukan Islam yang tinggal dengan aman di bawah penyeliaan hukum dan pemerintahan yang mengikut sistem Islam ia bertanggungjawab untuk tunduk kepada undang-undang Islam kerana ia tertakluk kepada tanggungjawab politik, bukan tanggungjawab aqidah atau agama.

  • Pembinaan Bangunan-bangunan Bersejarah.
Wujudnya bangunan-bangunan bersejarah yang menjadi keagungan generasi berikutnya seperti istana-istana, masjid-masjid dan monumen-monumen penting yang lain. Ciri seni bina Islam seperti mana yang dijelaskan oleh I.H Qureshi mempunyai ciri tersendiri seperti mengutamakan kemasukan cahaya ke dalam bangunan semaksimum yang boleh. Contohnya boleh dilihat di dalam masjid-masjid yang didirikan oleh umat Islam di zaman keagungan Islam. Di mana ia memberikan peluang paling luas bagi cahaya menembusi masuk ke ruang masjid tersebut. Ia bukan sahaja sesuai dengan semulajadi bumi malah memberikan keselesaan kepada umat Islam yang melakukan ibadat di dalamnya.

Di antara contoh seni bina Islam ialah Qubbat al-Sakhra (Dom batu) di Jerusalem yang dijelaskan oleh K.A.C. Creswell sebagai “…Keharmonian setiap bahagian dan keindahan hiasannya menjadikan Dom batu itu sebagai salah satu bangunan yang terindah di dunia ini”.

U.S. Scerrato mengenengahkan Alhambra’ di Granada (Andalus) sebagai contoh keunggulan seni bina Islam. Kerana adunannya yang seimbang di antara reka bentuk yang mudah yang terdapat pada setiap bangunan dengan beraneka hiasan di bahagian dalam.

Beliau selanjutnya membawa contoh yang lain iaitu Masjid Sulaimaniah, Istanbul yang dijelaskan seperti berikut “… Di dalam masjid Sulaimaniah yang diasaskan oleh Sulaiman yang sungguh hebat, Sinan menyambung semua tugas yang telah dimulakan oleh Ayia Sophia kira-kira seribu tahun dahulu. Diubahsuai kembali dengan Islam sehingga dianggap sebagai hasil kerjayanya yang terbaik. Untuk menaikkan lagi tarafnya sebagai bangunan yang bersejarah, masjid itu dibina di atas bukit yang tertinggi di Istanbul”.

A.U. Pope pula mengenengahkan Masjid-I-Shah di Isfahan, Iran dengan mengatakan “Pembinaan masjid-I-Shah telah dimulakan pada tahun 1612. Walaupun Syah Abbas begitu tidak sabar sekali, tetapi pembinaannya mengalami kelembapan yang tidak dapat menyiapkan tembok marmarnya yang terakhir sehingga tahun 1638. Bangunan ini adalah satu lambang daripada seribu tahun pembinaan masjid di Iran. Tradisi pembinaannya, idea-idea keagamaan, penggunaan, makna, perancangan yang matang dan secara perlahan adalah merupakan adunan diantara yang lama dengan jenis yang baru, unsur-unsur struktur binaan dan perhiasan yang penuh bertanggungjawab menjadikan Masjid-I-Shah begitu agung dan indah menempatkannya sebagai salah satu bangunan yang teragung di dunia ini”.

P.Bamborough membawa contoh keindahan seni bina Islam yang terdapat pada Taj Mahal, Agra dengan mengatakan “Tidak diragukan lagi bahawa makam yang paling halus, terindah buatannya dan salah satu perbendaharaan Islam yang teragung yang merupakan contoh kesenian marmar yang terbaik ialah Taj Mahal, di Agra, India. Reka bentuknya yang terindah ini diperbuat daripada marmar putih adalah merupakan lambang kepada kesempurnaan seni bina Islam…”

Masjid yang pertama dan tertua di dalam dunia islam yang merupakan titik permulaan bermulanya seni bina Islam ialah Masjid Madinah yang dibina oleh Rasulullah S.A.W dalam tahun 622 sebaik-baik sahaja Rasulullah dan umat Islam tiba di Madinah. Ia berbentuk empat segi yang dikelilingi oleh dinding yang diperbuat daripada bata dan batu. Di bahagian yang menjadikan tempat imam (Rasulullah) memimpin umat Islam di dalam sembahyang dikatakan beratap yang diperbuat daripada pelepah-pelepah tamar yang diliputi dengan tanah liat yang diletakkan di atas batang-batang tamar. Kiblat pada mulanya ialah di Baitul-Maqdis dan kemudiannya diubah ke Mekah dalam tahun 624 setelah Rasulullah menerima wahyu daripada Allah untuk berbuat demikian.

Kufah, Mesopotamia adalah merupakan tempat kedua masjid didirikan yang dikatakan dalam tahun 639 yang mempunyai atap yang diletakkan diatas lengkungan marmar yang dibawa dari istana raja-raja Parsi di Hirah. Ia juga masih berbentuk empat segi. Ia dikelilingi oleh parit. Di Fustat didirikan masjid dalam tahun 642 yang mempunyai ciri baru di dalam seni bina Islam iaitu mimbar yang tinggi. “Maqsurah” (hadangan dari kayu) diperkenalkan untuk memelihara imam dari jemaah yang ramai. Menara juga telah diperkenalkan oleh seni bina Islam pada akhir abad tersebut. Sembilan puluh tahun atau sepuluh tahun lebih awal dari itu setelah bangunan masjid Madinah didirikan “mihrab” (tanda arah kiblat) telah diperkenalkan.

Seni bina Islam yang berorientasikan ketenteraan dikatakan berkembang sejak akhir abad ke-19 hingga akhir abad ke-12. Untuk keselamatan bandar-bandar Islam tembuk telah dibina seperti di Syria dan di Mesir. Seni bina jenis ini telah ditiru oleh tentera-tentera salib kemudian.

  • Kewujudan Negara Islam.
Menurut sebahagian penulis-penulis antarabangsa, Islam adalah satu ciri tamadun Islam yang tidak boleh dipertikaikan kerana sebarang aktiviti orang Islam hanya boleh dilakukan dengan bebas di dalam negara Islam.



No comments:

Post a Comment

Copyright@2012 by TITASholic