Tamadun Islam suatu gambaran umum (Part 2)


sambungan dari >> Tamadun Islam Suatu Gambaran Umum (Part 1)

Zaman Rasulullah S.A.W.

Syariah Islamiah adalah merupakan payung yang menaungi semua umat Islam termasuk Rasulullah S.A.W di dalam negara Islam yang pertama di atas muka bumi ini yang diasaskan oleh baginda. Ketetapan yang diputuskan oleh Rasulullah adalah yang muktamad di dalam sesuatu perkara yang tidak diputuskan dalam al-Quran. Namun demikian baginda lebih mengutamakan para sahabat. Mereka diajak berbincang terlebih dahulu sebelum sesuatu keputusan itu diambil oleh baginda.

Masjid yang menjadi ibu pejabat kerajaan Islam yang diasaskan oleh Rasulullah dikenali sebagai Masjid al-Nabawi. Fungsi masjid terlalu luas merangkumi ibadat khusus seperti solat, pusat pemerintahan, pusat pentadbiran, mahkamah dan sebagainya. Baginda menjadi imam di dalam solat dan melaksanakan segala tugas pemerintahan negara Islam di masjid tersebut. Di antara tugas berat yang lain yang dijalankan oleh baginda ialah kerja-kerja perhubungan awam. Dari situlah baginda menulis surat-surat dan memilih pendakwah-pendakwah untuk di hantar kepada raja-raja luar negeri yang sezaman dengan baginda. Juga kepada ketua-ketua kabilah Arab di semenanjung tanah Arab. Di situlah juga merupakan tempat Rasulullah S.A.W menyambut ketibaan wakil-wakil kerajaan asing dan ketua-ketua kabilah, arahan kepada gabenor-gabenor di wilayah Islam berkaitan dengan pemungutan cukai dan sebagainya dikeluarkan dan tempat melaksanakan hukuman kepada penjenayah-penjenayah. 

Dalam hal yang lain segala aduan yang disampaikan oleh rakyat negara Islam didengar oleh baginda di masjid tersebut dan mendamaikan pihak-pihak yang bertelagah. Malah setiausaha-setiausaha (juru-juru tulis) dan pembantu-pembantu baginda juga melaksanakan tittah perintah baginda di masjid. Pendek kata masjidlah merupakan sekreteriat Rasulullah S.A.W seumur hidup.

Zaman Para Sahabat

  • Khalifah.
Tugas utama khalifah ialah berfungsi sebagai Ketua Negara Islam. Ia bebas dari sebarang kawalan dalam bentuk perlembagaan atau badan sesuka hati, bersifat autokrasi dan mempunyai kuasa yang tidak terbatas. Kerana al-Quran dan Sunnah adalah merupakan panduan yang membimbing dan mengawal segala tindakan khalifah. Khalifah Osman dan Ali kedua-duanya dikatakan mencontohi cara yang dilakukan oleh Abu Bakar dan Umar.

Khulafa’ al-Rasyidin amat berbeza daripada Rasulullah S.A.W dari satu aspek iaitu mereka tidak mempunyai tugas-tugas kerasulan. Namun demikian mereka mempunyai tugas-tugas keagamaan yang tersendiri. Contohnya, menjadi imam di dalam sembahyang berjemaah di Masjid Madinah, membaca khutbah pada hari Jumaat dan sebagainya. Di samping berfungsi sebagai ketua Negara mereka juga bertugas sebagai Ketua Panglima Tentera. Mereka bertanggungjawab melantik panglima-panglima tentera dan menghantar pasukan-pasukan tentera ke luar negeri untuk menentang musuh-musuh Islam. Kadang-kadang mereka sendiri memimpin pasukan tentera Islam sepertimana yang dilakukan oleh Umar di dalam Peperangan Qadisiah.

Majlis syura adalah merupakan tempat rujukan kepada Khulafa’ al-Rasyidin sebelum mendapat sesuatu keputusan penting seperti pemilihan panglima-panglima tentera dan serangan-serangan ke atas musuh. Mereka sekaligus berfungsi sebagai hakim atau kadi. Di peringkat wilayah jawatan hakim disandang oleh gabenor-gabenor yang dilantik oleh mereka.

Di zaman khulafa’ al-Rasyidin antara tugas kehakiman dan pentadbiran tidak pernah dipisahkan bagi melaksanakan keadilan. Tetapi mulai zaman Umar pemisahan antara jawatan pentadbiran dengan jawatan kehakiman terpaksa dilakukan. Segala-galanya berpunca dari bertambah luasnya wilayah-wilayah Islam yang menyebabkan bertambahnya beban tugas dalam kadar di luar keupayaan bagi mengharuskan kedua-dua jawatan itu disandang oleh seseorang gabenor. Jesteru itu beberapa hakim atau kadi telah dilantik oleh Umar untuk mengatasi masalah ini.

Zaman Bani Umaiyah

  • Perlantikan Khalifah.
Institusi khalifah mula menjadi monopoli kerajaan Bani Umaiyah yang berlainan sekali dari Khulafa’ al-Rasyidin yang menjadi hak milik umat Islam yang perlantikannya diserahkan kepada majlis syura. Ini bererti khilafah mula menjadi harta milik keluarga Bani Umaiyah tidak lagi menjadi hak milik umat Islam sejagat.

Mu’awiahlah merupakan pengasas Bani Umaiyah dan khalifah pertama dari kerajaan tersebut yang telah mewariskan jawatan khalifah kepada puteranya iaitu Yazid yang diisytiharkan sebelum kematiannya. Di peringkat awal kerajaan Bani Umaiyah dikenali sebagai Sufianiah yang merupakan cucu-cucit Sufian bapa kepada Mu’awiah. Di mana sistem penamaan bakal menjadi khalifah hanya ditetapkan seorang sahaja. Tetapi di bawah pemerintahan Marwaniah, iaitu cucu-cicit Marwan yang merupakan keluarga yang kedua mewarisi pemerintahan kerajaan Bani Umaiyah dua orang calon dilantik serentak sebagai raja muda untuk menjadi khalifah.
Contohnya Marwan menamakan dua orang puteranya iaitu Umar dan Yazid sebagai raja muda. Demikian juga Yazid menamakan adiknya iaitu Hisyam dan puteranya Walid sebagai raja muda.

Sistem perlantikan cara kedua ini membawa padah yang amat buruk kepada pemerintahan Bani Umaiyah dimana ramai anggota kaum keluarga khalifah yang berkebolehan, layak, lebih dewasa dan sebagainya tidak berpeluang menjawat jawatan khalifah. Kesan buruk dari sistem ini ialah timbulnya kekacauan dan perebutan jawatan khalifah. Contohnya di zaman Walid di mana beliau sendiri mati dibunuh. Sekaligus Bani Umaiyah berpecah menjadi dua kumpulan yang merupakan salah satu faktor utama yang membawa keruntuhan kerajaan Bani Umaiyah.

  • Majlis Syura.
Majlis syura yang diutamakan oleh Khulafa’ al-Rasyidin dihapuskan oleh kerajaan Bani Umaiyah. Namun demikian Umar bin Abdul Aziz telah cuba menghidupkan kembali institusi tersebut ketika menjadi Gabenor Hijaz dengan melantik beberapa tokoh ulamak yang berkaliber. Bila menjadi khalifah, beliau cuba mengasaskan semula majlis syura dengan menghubungi ramai ulamak. Zaman pemerintahannya adalah pendek. Sebab itulah majlis itu gagal ditegakkan kembali.[37]

  • Kerajaan Pusat.
Kerajaan Bani Umaiyah menubuhkan lima jabatan di dalam menjalankan pemerintahan dan pentadbiran negara islam iaitu Jabatan Ketenteraan (Diwanul Jund) , Jabatan Kewangan (Diwanul Kharaj) , Jabatan surat-menyurat (Diwanul Rasail) , Jabatan Cop Mohor (Diwanul Khatam) dan Jabatan Pos (Diwanul Barid) .

Kerajaan Bani Umaiyah bukan sahaja menghapuskan Majlis Syura, tetapi banyak melakukan perkara-perkara ganjil lain seperti menghapuskan sistem menseragamkan atau mencampur semua keturunan umat Islam iaitu antara Arab dengan keturunan lain yang dilakukan oleh Umar di dalam satu pasukan tentera. Kerajaan Bani Umaiyah sebaliknya mengasingkan. Kerajaan Bani Umaiyah khususnya di bawah pemerintahan Hisyam telah membatalkan pembayaran pencen kepada pesara-pesara tentera. Khalifah-khalifah Bani Umaiyah juga tidak pernah kelihatan menyertai tentera Islam di dalam sebarang peperangan.

Jabatan Kewangan pusat (Diwanul kharaj) bertanggungjawab mengawal dan menguruskan semua harta negara di zaman kerajaan Bani Umaiyah. Jabatan inilah yang menyimpan rekod dan resit berkaitan dengan pengumpulan hasil negara Islam dan perbelanjaannya.

Jabatan surat-menyurat (Diwanul Rasail) bertugas di dalam menulis dan menerima semua surat rasmi, mengeluarkan surat-surat arahan dan risalah-risalah. Jabatan ini juga bertugas sebagai badan penyelaras ke atas semua yang lain. Jabatan Cop Mohor (Diwanul Khatam) ditubuhkan oleh kerajaan Bani Umaiyah bagi memastikan bahawa segala arahan yang dikeluarkan itu ada dalam pengetahuan khalifah. Semua surat sebelum diedarkan mesti dicapmohorkan.

Mu’awiahlah merupakan pemerintah Islam yang pertama sekali memperkenalkan sistem pos di dalam negara Islam. Pada mulanya ia berfungsi untuk menguruskan kerja-kerja kerajaan sahaja. Tetapi akhirnya berkembang untuk kepentingan rakyat dan negara. Kuda dan unta adalah alat perhubungan yang digunakan oleh jabatan tersebut untuk mengedarkan dan memungut surat dari seluruh ceruk rantau negara Islam. Di zaman Abdul Malik sistem pos benar-benar berkembang dan sempurna perkhidmatannya.

  • Keadaan Sosial.
Walaupun sepanjang pemerintahan Bani Umaiyah terjadi huru-hara, tetapi dijelaskan oleh Profesor K. Ali keamanan dan keadilan pada keseluruhannya masih lagi dapat ditegakkan. Memang benar kedudukan Mawali (golongan yang baru memeluk islam) agak rendah jika dibandingkan dengan orang-orang arab yang begitu berkuasa dan mempunyai kedudukan yang amat istimewa tetapi penindasan dalam erti kata yang sebenarnya ke atas mereka tidak berlaku. Mereka tetap hidup dalam keadaan aman dan damai. 

Di bawah pemerintahan Bani Umaiyah non-muslim tetap juga mendapat hak sebagai rakyat negara islam. Khususnya di zaman pemerintahan Umar bin Abdul Aziz yang memeberikan perhatian yang serius terhadap golongan non-muslim ini. Beliau dikatakan telah memastikan tentang keselamatan gereja-gereja, kuil-kuil dan tempat-tempat ibadat yang lain. Malah beliau telah memberikan wang yang diambil dari Baitumal untuk membantu glongan non-muslim membina rumah-rumah ibadat mereka. Contohnya gereja besar Kristian di Edessa telah rosak ekoran daripada gempa bumi dalam tahun 60H/679M. Mu’awiah dikatakan telah mengarahkan dan memberikan bantuan pembinaan semula gereja tersebut.

Didalam urusan yang berkaitan dengan adat resam, agama dan masalah-masakah peribadi, golongan non-muslim diberikan kebebasan untuk membuat keputusan berdasarkan undang-undang mereka dan mengikut ketentuan dari ketua-ketua mereka. Kerajaan Bani Umaiyah telah menjamin keselamatan, nyawa harta dan kehormatan mereka.

Zaman Bani Abasiah

  • Pentadbiran.
Kuasa mutlak di dalam pemerintahan dan pentadbiran adalah merupakan bentuk pemerintahan kerajaan Bani Abasiah. Di mana tiada badan atau sesiapa juga yang boleh mempertikaikan segala keputusan khalifah kerajaan tersebut. Tugas seorang khalifah Bani Abasiah merangkumi sebagai seorang ketua negara, ketua agama, ketua panglima perang, penganugerahan pangkat dan jawatan, berkuasa menamakan bakal penggantinya dan sebagainya. Terdapat satu sistem bagaimana seseorang pengganti khalifah dipilih yang segala-galanya bergantung kepada budi bicara khalifah yang memerintah.

Di dalam masyarakat Islam di zaman Bani Abasiah, khalifah menduduki tangga teratas sekali sebagai Ketua Negara. Pegawai-pegawai pemerintah dan pentadbiran kerajaan Bani Abasiah berada di tangga yang paling hampir dengan khalifah. Sama seperti di zaman Bani Umaiyah wanita menikmati hak istimewa mereka yang dijamin oleh Islam. Lahir tokoh wanita yang aktif dalam politik pada masa yang sama itu seperti Khairuzan, Ulayyah, Zubaidah dan Buran. Mereka juga terlibat di dalam kegiatan intelektual dan syair. Zubaidah dijelaskan oleh Kitab al-Aghani sebagai tokoh penyair wanita yang berbakat.

Seorang ahli sejarah yang memberi kuliah di Baghdad dari kaum wanita yang amat terkenal ialah Syikah Shuhdah. Dalam bidang undang-undang pula dari kaum wanita yang amat termasyur pada masa itu ialah Zainab Umm al-Muwayyid. Ini bererti bahawa wanita juga telah menyumbangkan bakti kepada perkembangan tamadun Islam di zaman pemerintahan Bani Abasiah. Permainan yang agak popular pada masa itu termasuklah polo, catur, perlumbaan kuda dan memburu.

Majlis-majlis perjumpaan yang menemukan beraneka jenis golongan sarjana yang berpotensi kerapkali diadakan untuk mengadakan perbincangan berkaitan dengan ilmu pengetahuan. Melalui perbincangan-perbincangan ini ada di antara mereka yang menghasilkan buku-buku sejarah, kesusasteraan, falsafah dan sains. Di dalam masyarakat yang mementingkan ilmu ini golongan pengedar buku memainkan peranan yang amat penting. Tumpuan sarjana dan pelajar lebih tertumpu kepada kedai-kedai buku tersebut.

Sistem perhambaan dikatakan merebak kembali yang telah cuba dihapuskan oleh Rasululah S.A.W dan Khulafa’ al-Rasyidin yang dikatakan berkembanag kembali di zaman Bani Umaiyah. Di zaman Bani Abasiah sistem perhambaan kian subur. Boleh dikatakan kebanyakan pembesar dan orang kaya pada masa itu mempunyai hamba. Terdapat dua sumber hamba. Pertama golongan non-muslim yang tertawan. Kedua yang dipenjarakan ketika perang, tetapi di zaman aman dijadikan hamba. Kebanyakan mereka berketurunan Negro yang berkulit hitam. Tetapi ada juga dari keturunan Turki dan orang-orang berkulit putih. Keturunan Greek, Slave, Armenia dan Barbar adalah golongan hamba berkulit putih di zaman Bani Umaiyah.

Ekonomi umat Islam di zaman pemerintahan Bani Abasiah begitu maju dan berkembang. Mereka telah muncul sebagai golongan industrialis, pertukangan, golongan teknik, pencetak dan sebagainya. Inilah profesyen golongan bangsawan dan atasan. Golongan petani dan penternak adalah dari golongan kelas menengah dan bawahan.

Perdagangan di zaman Bani Abasiah begitu memuncak dan menguntungkan sekali. Bandar-bandar negara Islam muncul dan terkenal di seluruh dunia sebagai pusat-pusat perdagangan seperti Baghdad, Basrah dan Iskandariah. Dari bandar–bandar Islam umat Islam telah mengembara ke seluruh ceruk rantau dunia ini untuk menjalankan perdagangan. Mereka mendapat keuntungan yang besar dan menjadi golongan yang kaya-raya.

Kilang-kilang industri bercambah seperti cendawan tumbuh di seluruh bandar Islam. Kilang-kilang permaidani, sutera, kain dan sebagainya didirikan di Barat Asia. Kilang benang, menenun kain dan permaidani juga berkembang di Parsi dan Iraq. Kerajaan Bani Abasiah juga menggalakkan perkembangan sektor pertanian, yang menyebabkan pertanian merupakan salah satu faktor penting yang membawa kepada kemakmuran negara Islam pada masa itu yang tidak dapat ditandingi oleh mana-mana negara di dunia ini. Sektor pertanian jugalah merupakan salah satu sumber kewangan negara Islam yang penting. Berkembangnya sektor pertanian pada masa itu kerana kerajaan Bani Abasiah telah menyediakan pelbagai kemudahan seperti tali air yang baik, baja yang baik, tanah yang subur dan sebagainya.

  • Baitul Hikmah.
Baitul Hikmah juga dikenali dengan Khazanah Hikmah dan Darul Hikmah yang memberi pengertian sebagai gedung ilmu pengetahuan yang telah ditubuhkan oleh Harun al-Rasyid di zaman keagungan Bani Abasiah. Kegemilangan dan ketinggian mutu ilmu yang dicapai oleh umat Islam di Baitul Hikmah tidak ada tolok bandingnya dengan mana-mana tamadun dari zaman dahulu hingga hari ini. Penubuhan Baitul Hikmah ini adalah ekoran dari kegiatan penyelidikan dan pembelajaran yang dijalankan oleh umat Islam sejak zaman Rasulullah S.A.W kerana menuntut ilmu adalah satu kefarduan yang ditentukan oleh Allah S.W.T dan Rasul-Nya. Kegiatan ini semakin pesat di zaman Bani Umaiyah di mana kegiatan intelektual dalam erti kata yang sebenarnya telah berkembang maju dengan wujudnya penterjemahan buku-buku asing dan penulisan buku-buku baru yang telah dipergiatkan oleh umat Islam. Jesteru itu lahirlah satu bentuk perpustakaan yang rasmi di zaman pemerintahan Bani Umaiyah. Misalnya di zaman Khalifah al-Walid bin Yazid, satu bilik khas telah disediakan oleh beliau sebagai perpustakaan rasmi yang menyimpan bahan-bahan ilmu pengetahuan di istananya. Bahan-bahan ilmu pengetahuan ini terus kekal disimpan di istana Bani Umaiyah dan berkembang sehingga di zaman Abu Jaafar al-Mansur (Bani Abasiah) di mana beliau secara langsung telah mempergiatkan lagi gerakan penterjemahan buku-buku asing ke dalam bahasa Arab. Bahan-bahan ilmiah yang lain disimpan di Masjid Jamik al-Mansur yang digunakan sebagai bahan rujukan dalam majlis ilmu di masjid tersebut. Kegiatan intelektual begitu memuncak sekali di zaman Harun al-Rasyid, hasil dari kegiatan penterjemahan dan penulisan dalam segala bidang ilmu pengetahuan daripada bahasa-bahasa asing dan dari ilmu-ilmu pengetahuan Islam sendiri. Untuk mengekalkan prestasi dan mempertingkatkan lagi perkembangan intelektual ini, Harun al-Rasyid telah menubuhkan satu institusi khas yang agung dan terbesar di Baghdad yang diberi nama Baitul Hikmah sebagai markas yang menyelaraskan dan melicinkan lagi segala kegiatan intelektual.

Zaman Kerajaan Fatimiah

  • Pentadbiran.
Pentadbiran yang baik dan keperwiraan adalah merupakan dua ciri utama yang dimiliki oleh khalifah-khalifah kerajaan Fatimiah ini. Tidak banyak bezanya di antara sistem pemerintahan kerajaan Fatimiah dengan kerajaan Bani Abasiah. Perbezaan hanya wujud dari segi nama sahaja tetapi dari segi praktisnya adalah lebih kurang sama. Ketua Negara dan Ketua Agama adalah penggerak utama khalifah-khalifah kerajaan Fatimiah. Kekuasaannya maha luas sehingga boleh melantik dan memecat mana-mana pegawai di bawah pemerintahannya.

Di bawah khalifah terdapat menteri-menteri yang boleh dibahagikan kepada dua kumpulan. Pertama yang dikenali dengan gelaran ‘The men of the sword’ dan ‘The men of the pen’. Pedang adalah lambang kekuasaan. Mereka ialah menteri yang diamanahkan untuk menguruskan jabatan ketenteran, jabatan perang dan jabatan keselamatan dalam negeri. Pen pula adalah lambang pentadbiran awam yang mengawal jabatan kehakiman iaitu kadi, jabatan dakwah, jabatan sains dan pendidikan, jabatan pengurusan istana, jabatan pembacaan al-Quran dan sejumlah besar pegawai-pegawai rendah seperti kerani, setiausaha dan sebagainya.

Kerajaan Fatimiah membahagikan wilayahnya kepada tiga bahagian iaitu Syria, Mesir dan sempadan Asia kecil. Mesir di bahagikan kepada daerah-daerah kecil seperti Mesir utara, Sharqiah, Gharbiah dan Iskandariah yang diperintah oleh gabenor masing-masing. Masalah-masalah dalam negeri diselesaikan oleh penguasa-penguasa tempatan wilayah-wilayah tersebut.

Terdapat tiga bahagian tentera. Pertama pasukan tertinggi yang terdiri daripada amir-amir, pegawai-pegawai tinggi dan pengawal khalifah. Kedua pegawai-pegawai pengawal. Ketiga berbagai-bagai regimen yang dikenali sebagai Hafiziah, Juyusyiyah, Sudaniah dan lain-lain lagi. Angkatan tentera laut juga kedapatan dalam kerajaan Fatimiah yang berpusat di Iskandariah, Danika, Ascaton dan pelabuahan-pelabuhan di Syiria.

Zaman Kerajaan Islam India

  • Sumbangan.
Di antara sumbangan utama kerajaan-kerajaan Islam di India ialah bidang pendidikan. Professor M. Haminuddin Khan menjelaskan sejak zaman Muhammad bin Kasim yang merupakan penakluk pertama Islam di India telah mendirikan masjid. Masjid bukan sahaja merupakan sumbangan kepada perkembangan seni bina malah merupakan pusat pendidikan. Beliau juga telah dikatakan telah membina maktab-maktab dan madrasah-madrasah.

Mahmud Ghaznawi sebenarnya orang yang telah berjaya menegakkan pemerintahan di India yang diperkukuhkan lagi oleh Muhammad Ghori. Mungkin sukar untuk dinafikan tentang kesibukan Mahmud Ghaznawi untuk memperkukuhkan kerajaannya dari serangan-serangan musuh namun demikian beliau sempat juga mengembangkan tamadun Islam di India. Di antaranya beliau telah membina sekolah-sekolah, maktab-maktab dan universiti-universiti.

Perkembangan Islam di India adalah ekoran daripada perkembangan Islam di Timur tengah. Jesteru perkembangan yang begitu memuncak di Timur tengah juga memberi kesan kepada perkembangan di India. Di mana di India telah terdapat institusi-institusi pendidikan yang berbentuk profesional seperti maktab-maktab, teknik, perdagangan, kraftangan, perakaunan dan sebagainya.

Dr. I.h. Qureshy yang pendapatnya diambil oleh Professor Haminuddin Khan mengatakan sikap Sultan Balban yang memberikan layanan istimewa kepada golongan sarjana yang menyebabkan bandar-bandar utama India pada masa pemerintahanya menjadi tumpuan sarjana-sarjana dari dunia Islam yang memperkembangkan lagi tamadun Islam di India.

Penutup

Kajian terhadap tamadun Islam dapat dilihat melalui ciri-ciri tamadun Islam sendiri. Secara keseluruhannya, tamadun Islam lebih banyak dibangunkan oleh orang Arab dan kesenian yang terhasil pada zaman selepas bani Umaiyah adalah dari orang Arab. Kejayaan tamadun Islam banyak bergantung kepada kekuatan tenteranya dan kecintaan orang Islam terhadap ilmu pengetahuan. Selain itu umat Islam bersaing rapat dalam ekonomi yang telah menyebabkan kebanyakan umat Islam hidup mewah pada zaman keagungan Islam.

Kemewahan ini akhirnya menutup mata umat Islam sendiri kerana alpa dengan kekayaan dan memberi peluang kepada musuh Islam untuk menjatuhkan mereka. Kegagalan dalam menegakkan syariat Islam selepas zaman para sahabat melonggarkan hubungan mereka dengan Allah. Walaupun begitu tidak semua umat Islam lalai malah ada juga sebilangan besar dari mereka yang taat kepada Allah seperti khalifah Abdul Malik.

Oleh itu kita sebagai umat Islam hendaklah mengambil iktibar dari contoh yang telah ditunjukkan oleh umat Islam dan hindari faktor-faktor kelemahan umat Islam dahulu.

No comments:

Post a Comment

Copyright@2012 by TITASholic